Wednesday 10 July 2013

Ramadhan

1 Ramadhan 1434H

Alhamdulillah Ramadhan datang lagi bersama ribuan manfaat yang nyata dan tersembunyi, untuk umat Islam terokai, hayati dan garap sebagai bekalan untuk kehidupan abadi. Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, saya berazam untuk terus meningkatkan kualiti ibadah. Peluang dan ruang untuk meraih pahala tidak akan saya biarkan berlalu begitu sahaja. Ramadhan adalah sekolah terbaik untuk melatih diri erti kesabaran dan kesyukuran. Saya masih ingat pesan ustaz semasa bersekolah rendah dulu, manusia merupakan makhluk yang sangat pelupa. Manusia tidak akan sedar betapa banyaknya nikmat yang telah disia-siakan begitu sahaja sehinggalah nikmat tersebut ditarik balik oleh sang Pencipta.

Antara nikmat yang sering diabaikan usia muda sebelum tua. Dalam kehidupan kitapun ada jangka hayat yang boleh kita pecahkan kepada:

Jadi, di mana kita kini? Yang pasti saya telah melalui 5 fasa kehidupan dan kini sedang menjalani fasa yang ke enam. Adakah saya berpuas hati dengan pencapaian saya. Alhamdulillah saya yakin apa yang telah Allah takdirkan kepada saya adalah yang terbaik untuk saya. Kini saya belajar menghargai apa yang ada di sekeliling saya dan memohon hanya yang terbaik daripada Ilahi.  

Sabda Rasullulah yang diriwayatkan oleh Ahmad..."Sesungguhnya Nabi SAW bersadba bahawa Allah tidak memandang rupa paras dan harta kamu tetapi memandang kepada amal-amal kamu dan hati-hati kamu."

Sesungguhnya kita hadir ke dunia ini bukan untuk bersuka ria atau berlumba untuk mengejar dunia. Kehidupan ini adalah satu persinggahan untuk menggumpul bekalan buat kehidupan yang lebih abadi di sana. Ada pelbagai cara untuk mendapat keredhaan Ilahi. Yang pasti kerjakan apa yang disuruhNya dan tinggalkan apa yang dilarang. Dalam menjalani kehidupan sebagai Khalifah di muka bumi ini kita tidak pernah sunyi dari melakukan kesilapan. Jadi apa yang perlu kita lakukan sekiranya kita tersedar bahawa kita telah melakukan kesilapan? Ada antara ahli bijak pandai menyatakan, sekiranya kita melakukan kesilapan, akuinya, pelajari hikmah di sebaliknya dan jangan ulangi lagi kesilapan tersebut. Sebagai seorang Muslim kita harus muhasabah diri dan bertaubat. Sebaik-baik taubat adalah taubat nasuha; berjanji pada diri tidak akan mengulangi kesilapan tersebut secara bersungguh-sungguh. Adakala di keheningan pagi, kala saya terjaga untuk memulakan hari baru, saya bertanya diri sendiri, mampukah saya kembali padaNya dalam keadaan redha dan di redhai? Menyedari begitu banyak kelemahan diri yang perlu dibaiki, saya berazam untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai sekolah latihan terbaik untuk saya memperbaiki hubungan dengan Ilahi dan hubungan dengan orang-orang di sekeliling saya.

No comments:

Post a Comment