Saturday 3 May 2014

Terlambat kusedari

Perjalanan dari Jesselton Point ke Pulau Manukan menaiki bot laju  mengambil  masa lebih kurang 25 minit. Bukan kali pertama aku ke sini. Semenjak bertugas di UMS, sekerap mungkin aku ingin ke sini. Menikmati keindahan lautan yang terbentang luas saujana mata memandang. Kesibukan dan tekanan kerja hilang sebaik sahaja memandang lautan yang biru kehijaun terbentang di depan mata. Pernah satu ketika, aku seakan terlihat kelibatnya di sini. Itulah alasan sebenarnya aku ke mari. Aku datang ke sini dengan harapan dia akan kutemui. Aku masih ingat betapa bersinarnya mata bundar itu setiap kali bercerita pasal laut. Mata bundar yang pernah membuatku jatuh hati padanya, Si dia yang pernah kucintai, tidak ...bukan pernah...aku masih lagi menyintai dia. Si dia yang keletah dan manja, si dia yang petah berceloteh, yang sukar untuk diam. Si dia yang pernah kusayangi dan juga pernah kulukai. Dia yang kini sudah bukan lagi Ezuraku yang manja. Dia yang kini, milik orang. Dia... tuhan, betapa besarnya dosaku padanya. Aku menyintainya, memberinya harapan, menjanjikannya sebuah mahligai bahagia namun aku sendiri yang meragut segala kebahagian itu. Andai masa mampu kuputarkan kembali, pasti aku tidak akan meninggalkannya terkapai-kapai tanpa bimbingan. Aku yang lemah. Aku yang tewas dengan dugaan yang Kau berikan padaku. Ampuni aku Ezura...maafkan aku. Bukan niatku menyakitimu tapi saat itu, aku sendiri diuji. Aku gagal. Acapkali tuhan mengujiku, acapkali juga aku gagal sehinggalah akhirnya aku sedar, setiap insan ada kelemahan masing-masing. Tugasku hanya berdakwah, yang memberi hidayah adalah tuhan. Maafkan aku Ezuraku. Aku terlambat mengerti kenyataan itu. Aku kecewa dengan kedegilanmu. Aku tidak dapat menerima hakikat kedegilanmu. Kau yang nyata manja lebih keras dari yang kusangkakan. Hatimu begitu utuh ingin mengejar impian sedangkan aku. Aku cuba mengikatmu dengan sebuah harapan yang aku sendiri tidak lunaskan. Mungkin ini takdirnya, hampir dua puluh tahun terpisah, aku tidak dapat melupakanmu. Begitu besar harapanku untuk menebus kembali kesalahanku. Andai ada ruang untuk kita bertemu kembali, aku tidak akan melepaskanmu lagi. Akan kurawat luka dihatimu. Namun segalanya sudah terlambat. Kenyataannya kau kini milik yang lain. Pedihnya hati ini saat mengetahui kau telah dimiliki. 

"Jangan terlalu tamak, Aditya." suara Saiful mematikan lamunanku. Bahuku ditepuknya dari belakang.

"Pul...apa kau buat kat sini?" Pelik jugak hari-hari minggu macam ni si Saiful sahabat ku semenjak sekolah rendah ada di sini.

"Sengaja, bawa anak-anak mandi manda." Pandangannya beralih ke satu arah. Jelas kelihatan Shasha dan anak-anak Saiful sedang bergurau senda sambil berkejaran di gigi air. Bahagianya mereka. Sedangkan dia. Walaupun sudah lima belas tahun berkahwin, rezekinya belum ada, mungkin juga tidak ada langsung kesempatan untuknya memiliki cahayamata sendiri.

"Kenapa kau cakap aku tamak?" sengaja pertanyaan itu kuajukan padanya.

"Kau tahukan Fauziah setia dengan kau, kenapa kau masih nak kejar Ezura? " Mana Saiful tahu? Mungkinkah selama ini mereka berhubung kembali?

"Macam mana kau tahu pasal Ezura?" persoalanku disambut senyum sinis Saiful.

" Kau tahukan selama ini aku dan Ezura tidak pernah terputus hubungan. Kami masih lagi berkawan. Malahan aku kenal sangat dengan suaminya. Aku minta kau jangan serabutkan keadaan." Walaupun nada suara Saiful masih mendatar tapi aku rasakan permintaannya bagai satu amaran.

"kau masih sukakan dia?" bukannya aku tidak tahu Saiful memang menyukai Ezura. Sejak kami dibangku sekolah menengah lagi. Namun bagi Ezura, figura seorang sahabat yang sering bersikap seperti seorang abang yang sentiasa melindungi dirinya...itulah definisi persahabatan mereka.Ezura sendiri yang menyatakannya padaku masa kami sama-sama mengulangkaji di perpustakaan suatu masa dulu.

" Aku akan sentiasa melindungi dia, melindungi dia dari terus disakiti..." Saiful tahu keseluruhan cerita kami. Aku pasti, Ezura tidak pernah berahsia padanya. Malah persahabatan mereka yang agak akrab sering menimbulkan rasa cemburu di hati ini. 

" Kau kenal suami dia? " Entah kenapa tiba-tiba tergerak hati untuk bertanya lebih lanjut mengenai Ezura.

" Kenal sangat. Kami pernah berurusan" Pendek jawapan Saiful. 

" Dia baik? Maksud aku, adakah dia menyanyangi Ezura?" 

Saiful sengih sinis lagi.

"Terlalu menyanyangi dan terlalu menyintainya sehingga sanggup tinggalkan keluarga dan agamanya untuk bersama Ezura"

"Maksud kau? "

" Dia mualaf. Seorang Cindian" 

"Lupakan Ezura...kotakan janji kau dulu...andai kata tiada jodoh antara kalian...jangan cuba hubungi antara satu sama lain"

Pandanganku buang jauh. Ternyata memang betul telahanku. Ezura telah ceritakan segalanya kepada Saiful. 

"Sudahlah Adi. Lupakan kisah korang"

Ezura, terlambat sudah untuk aku ungkapkan betapa aku merinduimu. Mungkin inilah yang terbaik buatku. 

"Ezura sudah lama memaafkan kau. Dia pesan agar kau dapat membahagiakan Gee. " Saiful berlalu bersama ayat terakhir itu.

Tuhan berikanlah aku kekuatan untuk  melupakannya. Dia lebih layak bersama suaminya. Ampuni aku kerana berperasaan begini...



No comments:

Post a Comment